Etnik Temuan Kaki Gunung Ledang - Tangkak Johor 2024

แชร์
ฝัง
  • เผยแพร่เมื่อ 11 ก.ย. 2024
  • Etnik Temuan merupakan salah satu etnik dalam masyarakat Orang Asli dari kumpulan Melayu Proto atau lebih mudah dikenali sebagai Melayu Asli. Melayu Asli terdiri dari etnik Jakun, Temuan, Semelai, Duano, Seletar dan Kanaq. Antara negeri-negeri di Semenanjung yang terdapat etnik Temuan ialah Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
    Secara umumnya petempatan etnik Temuan berdekatan dengan perkampungan Melayu, malah terdapat beberapa petempatan mereka berada di pinggiran bandar. Suatu ketika dahulu etnik Temuan di Selangor misalnya, pernah dipanggil ‘Belandas’ dan ‘Orang Dusun Tua’. Manakala di Negeri Sembilan pula mereka ini dikenali sebagai ‘Orang Bukit’, ‘Rayat Hutan’ dan ‘Sakai’.
    Di negeri Johor etnik Temuan tinggal di kaki Gunung Ledang dalam daerah Tangkak, etnik ini merupakan etnik yang tinggal di kaki Gunung Ledang sejak sekian lama. Kawasan petempatan mereka adalah bersempadan dengan negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Petempatan etnik Temuan yang terdapat di kaki Gunung Ledang ialah Kampung Air Tawas, Kampung Tanah Gembuh dan Kampung Sungai Mering.
    Sesetengah pengkaji mengatakan, Perkataan ‘Temuan’ dikatakan berasal dari pengertian yang membawa maksud, temu atau jumpa. Iaitu pertemuan unsur sosiobudaya dan adat resam antara penduduk asal dengan orang luar. Malah jika dilihat secara dekat, etnik Temuan yang tinggal di Negeri Sembilan misalnya, mereka cenderong mengamalkan adat resam dan budaya yang hampir menyamai adat perpatih. Penyatuan adat dan budaya ini terjadi melalui perkahwinan sejak kedatangan orang Minagkabau ratusan tahun dahulu. Sehingga kini bilangan etnik Temuan di Semenanjung, ialah seramai 34,661 orang atau 16 peratus dari keseluruhan bilangan Orang Asli di Semenanjung. Manakala etnik Temuan yang terdapat di negeri Johor bilangan mereka tidak ramai, hanya 773orang.

ความคิดเห็น • 4