Syariat agama ini sampai kepada kita melalui Asyairah & Maturidiyah
ฝัง
- เผยแพร่เมื่อ 26 ธ.ค. 2024
- Imam Abu Hassan al-Asy'ari رَحِمَهُ اللّٰه adalah mujadid pada kurun ketiga iaitu kurun Salafus Soleh. Imam al-Asy'ari رَحِمَهُ اللّٰه adalah ulama Salaf dan pengikutnya iaitu ulama aliran al-Asyairah adalah pengikut Salaf yang sebenar. Mereka pewaris akidah najiah di zaman Khalaf iaitu selepas zaman Salaf.
Sanad Imam al-Asy'ari رَحِمَهُ اللّٰه adalah seperti berikut: Imam Asy'ari adalah murid kepada Imam Zakaria bin Yahya as-Saji, murid kepada Imam Ahmad bin Hanbal, murid kepada Imam asy-Syafie, murid kepada Imam Malik. Imam asy-Syafie juga murid kepada Imam asy-Syaibani yang merupakan murid kepada Imam Abu Hanifah. Semua sanad pengajian ini sampai kepada Baginda Rasulullah مُحَمَّدٌ ﷺ...
Aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah ini adalah aliran arus perdana yang dipegang oleh hampir semua ulama muktabar. Ini adalah manifestasi as-Sawaidul A'zam seperti sabda Rasulullah dalam hadis baginda. Aliran ini diikuti oleh ulama dari Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie bahkan Fudhala' Hanabilah.
Sehingga disebutkan bahawa aliran al-Asyairah ini adalah mazhabnya ahli hadis. Dan Imam Murtadza az-Zabidi dalam kitabnya Ithaf as-Sadah al-Muttaqin: "Apabila disebut Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka yang dimaksudkan adalah al-Asyairah wal Maturidiah."
Daripada mazhab Hanafi: Al-Kasani, As-Sarkhasi, Az-Zaila'i, Ibnu Al-Humam, Ibnu 'Abidin, Syah Waliyullah ad-Dehlawi dan kebanyakan ulama India dan Pakistan yang beraliran Deoband serta jemaah tabligh seperti Ketua Syeikhul Hadis Maulana Zakaria Al-Kandahlawi, Maulana Rasyid Gongohi, Maulana Yunus Jounpuri, Maulana Asadullah dan ramai lagi ulama selain mereka.
Daripada mazhab Maliki: Ibnu Rusyd, al-Qarafi, Asy-Syatibi, Ad-Dardir, Ad-Dusuqi, Al-Laqqani, Az-Zurqani, An-Nafrawi, As-Sanusi dan ramai lagi ulama selain mereka.
Daripada mazhab Syafie: Al-Juwaini, Al-Haramain, Ar-Razi, Al-Aamidi, Al-Asfarayini, Al-Baqilani, Al-Mutawalli, Ibnu Shalah, An-Nawawi, Ar-Rafi'i, Sultanul Ulama Izz bin Abd as-Salam, Ibnu Daqiq al-Iyd, Al-Azra'i, Al-Isnawi, As-Subki, Zakaria Al-Anshari, Ibnu Hajar Al-Haithami, Ar-Ramli, As-Syirbini, Al-Mahalli, Ibnu Al-Muqri, Al-Bujairimi, Al-Baijuri, Ibnu Al-Qasim Al-'Abbadi, Qalyubi, 'Umairah, Ibnu Qassim al-Ghazzi dan ramai lagi ulama selain mereka.
Daripada mazhab Hanbali: Fudhala al-Hanabilah adalah seperti Ibn Qudamah, Ibn Rejab, Ibn Jawzi, Ibn Muflih, Syeikh Hamdu Ulayyan al-Azhari dan ramai lagi.
Ulama dari pelbagai bidang ilmu Islam berpegang kepada aliran besar ini. Ulama Qiraat, Mufasirin, Muhadisin, Mutakalim, Usuli, Fuqaha, Sufi, Nahwi dan lain-lain mengikuti al-Asyairah wal Maturidiah. Jika ditolak sekalian ulama Asyairah wal Maturidiah ini, maka semua disiplin ilmu Islam akan terputus sanadnya.
Jika menelusuri sanad ilmu Qiraat al-Quran atau sanad ulama yang mensyarahkan Hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim, pasti akan menemui rantaian para ulama al-Asyairah wal Maturidiah. Imam asy-Syatibi dan Imam al-Jazari adalah Imam besar dalam sanad ilmu Qiraat yang berpegang dengan akidah Asyairah wal Maturidiah. Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari adalah seorang Asyairah, Imam an-Nawawi yang mensyarahkan Sahih Muslim juga seorang Asyairah.
Begitu juga dengan ulama hadis yang lain adalah pengikut aliran Asyairah wal Maturidiyah seperti: Ar-Rafie, Ibnu Hajar Al-Haitami, ar-Ramli, al-Baihaqi, Al-Hakim, as-Suyuthi, Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari, Izzuddin bin Abd Salam, Daruqutni, Al-Khatib Al-Baghdadi, Al-Qadhi 'Iyadh, Ibnu As-Shalah, Al-Mizzi, Zainuddin Al-'Iraqi, Badruddin Al-'Ainiy, Ibnu al-Mulaqqin, Ibnu Daqiq al-'Id, Murtadha Az-Zabidi, Al-Laknawi, Mulla Ali al-Qari, Ibnu 'Asakir, As-Sakhawi dan ramai lagi.
Aliran dan huraian Al-Asyairah wal Maturidiah yang membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah melalui pengajian Sifat 20 mengandungi perbahasan akidah mengikut tafsiran Salaf dan meraikan Khalaf. Justeru terangkum dalam pegangan ahli hadis, ahli bahasa dan ahli tasauf yang berpegang kepada keesaan اللّٰهُ ﷻ tanpa dicelahi unsur tasybih, tajsim, ittihad dan hulul.
Aliran al-Asyairah wal Maturidiah adalah aliran yang moderat dan wasati. Mereka tidak membelakangi wahyu seperti golongan Muktazilah dan tidak pula membelakangi akal seperti golongan Mujasimah Harfiyah (literalis). Mereka tidak bermudah dalam soal Takfiri seperti golongan Khawarij dan tidak pula longgar seperti golongan Murjiah dan Liberal-Plural-Sekular. Dalam bab takdir (qada' dan qadar), mereka adalah pertengahan antara golongan Qadariyah dan Jabariyah. Aliran ini memuliakan para Sahabat Baginda Rasulullah مُحَمَّدٌ ﷺ tidak seperti golongan Syiah dan turut memuliakan Ahlul Bayt tidak seperti golongan Nasibi..